Surah Al-Noor
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Ini
ialah satu "surah" yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya,
serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu
beringat (mengamalkannya). (1) Perempuan
yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap
seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi
oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum
agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan
hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh
sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (2) Lelaki
yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan
perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina
itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh
lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian
itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. (3) Dan
orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang
terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang
saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu
menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah
orang-orang yang fasik. (4) Kecuali
orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang
tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (5) Dan
orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada
saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri,
maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu
hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa
sesungguhnya dia dari orang-orang yang benar. (6) Dan
sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata): Bahawa laknat Allah akan
menimpa dirinya jika dia dari orang-orang yang dusta. (7) Dan
bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu
hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya
(yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta.
(8) Dan
sumpah yang kelima (hendaklah dia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan
menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (9) Dan
kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada
kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima
taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu) akan mengalami kesusahan
yang sukar diatasi). (10)
No comments:
Post a Comment